doa dituntut oleh islam....doa seoramg ibu untk anak-anaknya murah rezeki,panjang umur,terhindar bencana.................
Monday, February 6, 2012
ADAB BERDOA
Allah Berjanji Untuk Mengabulkan Doa Orang yang Berdoa. Dibawah ini diberikan beberapa adab berdoa berpandukan al-Quran dan hadis.
Allah berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Al Baqarah: 186
Ada beberapa adab dan peraturan yang disunahkan agar mendapat kelebihan dan barakah dari Allah dan supaya doa itu dimakbulkan. Berikut ini diberikan beberapa panduan menurut Al-Quran dan sunnah.
Berdoalah dengan suara yang lembut
Doa adalah ditujukan kepada Allah yang Maha Mendengar. Apa sahaja doa kita akan didengari Allah. Oleh yang demikian tak perlulah kita mengeraskan suara.
Berdoa dengan penuh yakin
Hendaklah berdoa dengan penuh yakin bahawa doa kita akan dimakbulkan. Dari Anas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda”: “Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah: “Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku!” Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa.” H.R. Anas r.a.
Memohon Sebanyak Tiga Kali
Ulangilah doa sebanyak 3 kali. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa Abdullah Bin Mas’ud berkata: Baginda Rasulullah s.a.w. jika berdoa, baginda berdoa sebanyak tiga kali, dan jika baginda memohon baginda memohon sebanyak tiga kali. (H.R Bukhari dan Muslim)
Bersalawat Kepada Nabi s.a.w.:
Sabda Rasul s.a.w.: Tiap tiap doa akan terhalang sehingga dia bersalawat kepada Nabi s.a.w. (Hadis Hasan) Doa hendaklah dimulakan dan diakhirkan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
Menghadap qiblat.
Dari Abdullah Bin Mas’ud r.a., katanya: Nabi Muhammad s.a.w. menghadap ke Ka’bah, lalu beliau berdoa mengutuk beberapa orang dari golongan Quraisy. H.R. Bukhari dan Muslim
Mengangkat Kedua-dua Belah Tangan Sambil Berdoa
Abdullah Bin Omar (ra) berkata: Nabi Muhammad SAW. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu baginda berdoa: Ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang dilakukan oleh Khalid (dua kali). (Diriwayatkan oleh Al Bukhari)
Dalam hadis lain, berkata Abu Musa: Kemudian baginda Rasul s.a.w. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu beliau berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Bin ‘Amir, dan aku melihat keputihan ketiak baginda. (HR Imam Bukhari)
Berwudhu’ Sebelum Berdoa
Berkata Abu Musa (ra): Sebelum ‘Ubaid Abu ‘Amir meninggal dunia, dia telah berpesan kepada aku agar aku menyampaikan salamnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan memohon doanya agar Allah mengampuni dosa-dosanya. Ketika pesanan tersebut aku sampaikan kepada baginda Rasul s.a.w. lalu baginda menyuruhku agar mengambil sebekas air untuknya. Kemudian beliau berwudhu’ dan mengangkatkan kedua-dua tangannya sambil berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Abi ‘Amir; dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Abi ‘Amir dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya berdoa): Ya Allah, jadikanlah dia pada Hari Kiamat sebagai orang yang mulia mengatasi kebanyakan makhluk-Mu. Lalu akupun berkata: Mohon ampunan jugalah untuk aku ya Rasulullah. Kemudian baginda berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa dosa Abdullah Bin Qais (Abu Musa), dan masukkanlah dia ke dalam tempat masuk yang mulia pada Hari Kiamat. (HR Imam Bukhari dan Imam Muslim)
Berdoa Sambil Menangis
Dari Abdullah Bin ‘Amr Bin Al ‘Ash r.a, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. membaca ucapan Nabi Isa a.s.: Ertinya: “Sekiranya Engkau seksakan mereka sesungguhnya mereka adalah hamba hamba-Mu, dan sekiranya Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau adalah Maha Mulia lagi Maha Bijaksana”. (Al Maidah: 11)
Lalu Rasul s.a.w. menganqkat kedua-dua tangannya dan berdoa: “Ya Allah, umatku, umatku “, (sambil baginda menangis). Selanjutnya Allah s.w.t. berfirman kepada Jibril (a.s.): Hai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad, dan katakan kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan meredainya dan umatnya, dan kami tidak akan menyusahkan kamu “. (HR Imam Muslim)
Berdoa Dengan Merendah Diri
Allah s.w.t. menceritakan tentang keadaan para Nabi ketika mereka memohon kepada-Nya, antaranya: “Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya: (“Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang diantara semua penyayang.” (Al Anbiyaa: 83)
“Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri, dan Engkaulah waris yang paling baik”. (Al Anbiyaa: 89)
Berdoa Pada Beberapa Waktu dan Keadaan yang Mustajab
Ada beberapa waktu berdoa yang mustajab menurut hadis dan al-Quran. Antaranya ialah ketika berpuasa, ketika sebelum berbuka, ketika hujan lebat, selepas berzikir dan sebagainya. Doa orang yang teraniaya atau dizalimi juga dimakbulkan, oleh yang demikian, janganlah kita menganiayai sesiapa sahaja.
Allah s.w.t. telah menetapkan beberapa waktu atau masa yang sangat baik jika kita berdoa didalamnya. Waktu waktu itu antara lain: Pada malam Lailatul Qadr, pada dua pertiga malam, setelah solat waktu dan pada waktu bersujud dalam sujud rakaat terakhir (doa dalam hati. tanpa mengeluarkan suara.)
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Do’a yang manakah yang paling didengar (diterima)? Jawab baginda: (Do’a) akhir malam dan setelah solat wajib. H.R. At-Tarmizi – Sahih
Doa Pada Sepertiga Akhir Malam Sangat Makbul. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah (Yang Maha Suci Lagi Agung) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. Dia berfirman: “Barangsiapa mendoa kepada-Ku, akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Kuberi dia. Siapa yang minta ampun, akan Kuampuni dia.” H.R. Bukhari.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment