PEN PERAKAM KULIAH...?????

Wednesday, December 29, 2010

DOA AMALAN MULIA


Assalamaualaikum,
Setelah mengetahui bahawa Doa itu satu amalan yg digesa oleh Allah (a.w) sendiri kita kerjakan, maka mengapakan setelah kita selesai bersolat atau melakukan sesuatu yg baik, kita tidak berdoa? Setelah mengatahui ancaman Allah (a.w) kepada mereka yg tidak mahu berdoa, maka mengapakah kita abaikan?

Doa Adalah Ibadah Termulia

Kita yang jahil tentang Islam seringkali beranggapan bahawa ibadah dalam Islam yang utama itu hanyalah solat, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji. Selainnya, adalah ibadah sunat. Doa tidak termasuk dalam ibadah wajib mengikut pandangan konvensional umat Islam. Tetapi, yang jelasnya ‘doa’, seperti firman Allah (a.w) di atas adalah wajib. Bukan sahaja kalimah suruhan ‘ud’uni’ (berdoalah) digunakan, tetapi ditambah pula dengan keterangan bahawa mereka yang tidak mahu berdoa dimurkai Allah (a.w). jelaslah ‘doa’ itu seolah-olah suatu amalan hampir-hampir wajib.
Sesungguhnya manusia sebagai makhluk Allah (a.w) tidak boleh dan tidak layak sombong.Seseorang yang tidak berdoa dan tidak mahu berdoa adalah bersifat sombong terhadap Allah (a.w). Sifat sombong adalah satu-satu sifat utama iblis dan syaitan.
1. Diriwayatkan hadith daripada Nu’man bin Basyir (r.a), hadith daripada Nabi (s.a.w) yang bersabda: 'Innad-duau hual-ibadatu.' [Maksud: Sesungguhnya ‘doa’ itu adalah satu ibadah] (Kemudian kata Nu’man: Rasulallah (s.a.w)) membaca ayat 60 Surah al-Ghafir (yang dirujuk di atas)’] [Hadith Abu Daud & Imam Ahmad].
Di dalam al-Quran disebutkan oleh Allah (a.w) bahawa para-para rasul dan para nabi termasuk Rasulallah (s.a.w) sendiri sering mengamalkan doa. Rasulallah (s.a.w) yang maksum (yakni, tidak mempunyai dosa) sentiasa berdoa memohon agar Allah (a.w) ampunkan dosa-dosanya! Apatah lagi kita yang sentiasa melakukan perbuatan yang membawa dosa.
Di dalam sepotong hadith lain disebutkan pula bahawa semulia-mulia ibadah sebenarnya adalah ‘doa’. Maka atas hakikat ini cukup untuk menyedarkan kita bahawa wajib kita amalkan sebanyak mungkin berdoa kepada Allah (a.w) untuk segala sesuatu. Malah Adalah suatu kesalahan di dalam Islam bahawa kita meminta sesuatu pada orang lain. Kerana, tanpa izin Allah (a.w), tiada siapa yang dapat menolong kita.
2. Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Asyraful ‘ibadatod-du’au,' [Maksud: Semulia-mulia ibadah (pada Allah (a.w)) adalah berdoa.] [Hadith Bukhari, Kitab Adab]
Jelaslah, kerana amalan berdoa itu adalah amalan mulia di sisi Allah (a.w), maka wajarlah diamalkan sentiasa di dalam hidup kita. Tambahan pula, doa tidak ada batasan waktu melakukannya. Doa tidak memerlukan masa dan tenaga untuk melakukannya. Rasulallah (s.a.w) juga mengulangi hakikat ini di dalam hadith berikut:
3. Diriwayatkan bahawa Rasulallah (s.a.w) ditanya oleh sahabat: ‘Apakah ibadah yang afdhal (yakni, utama atau terbaik)?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Du’aul mar-i linafsi ...) [Maksud: Doa seseorang untuk kebaikan dirinya.] [Hadith Bukhari]
Berdoa demi kepentingan diri kita adalah ibadah yang afdhal atau utama bagi setiap kita yang Islam. Sebelum kita berdoa untuk kebaikan atau kebajikan orang lain, hendaklah kita doakan untuk kebaikan diri kita. Itu amat utama. Doa yang disuruh adalah doa untuk kebaikan dan bukan untuk kejahatan terhadap diri ataupun orang lain.

Tidak Berdoa Dimurkai Allah (a.w)

Jika kita teliti al-Quran begitu banyak sekali doa-doa yang diajarkan oleh Allah (a.w) kepada para rasul dan para nabi, atau Allah (a.w) memberitahu kita berbagai doa yang dibaca oleh para rasul dan nabi. Contohnya, Nabi Adam (a.s) dan Hawa (a.s), yang menyesal melanggar perintah Allah (a.w) kerana mendekati dan memakan buah pokok zakum, berdoa meminta keampunan kepada Allah (a.w) setelah menyedari kesalahan atau dosa mereka mengingkari perintah Allah (a.w) tersebut.
Di dalam hadith berikut Rasulallah (s.a.w) mengulangi perintah Allah (a.w) bahawa orang Islam yang beriman itu seringlah berdoa. Mereka wajib berdoa dan jadikan doa itu satu ibadah harian.
4. Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: 'Man lam yad’ullaha Azza Wajalla ghadaba ‘alaihi.' [Maksud: Barangsiapa yang tidak berdoa (memohon atau meminta sesuatu kepada Allah (Aza=Maha Mulia, Wajal=Maha Agung) (a.w)), Allah (a.w) memurkainya][Hadith imam Ahmad]
Rasulallah (s.a.w) di dalam hadith di atas memberitahu kita tahu bahawa Allah (a.w) murka kepada sesiapa yang tidak mahu berdoa. Maksud hadith ini sama dengan hadith Nu’man (r.a) yang kita bacakan sebelum ini. Dan, ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam hadith ini adalah berpunca dari ketetapan Allah (a.w) dalam Ayat 60, Surah al-Ghafir iaitu, Allah (a.w) akan menyiksa seseorang yang tidak mahu berdoa kepadaNya kerana keengganan sedemikian adalah satu manifestasi sifat-sifat kesombongan manusia terhadapNya. Manusia, sebagaimana makhluk lainnya, tidak berhaq berlaku sombong terhadap sesiapapun, lebih-lebih lagi kepada Allah (a.w), Tuhan dan Pencipta mereka.
[Nota: Di dalam sepotong hadith Rasulallah (s.a.w) bersabda bahawa sesiapa yang ada pada dirinya sifat sombong atau di dalam hatinya perasaan sombongatau angkuh atau membesar diri atau takbur, tidak akan masuk syurga! Kerana sifat sombong itu hanya layak ada pada Allah (a.w). Manusia sebagai makhluk tidak layak sombong walaupun kepada manusia sekalipun.

Keutamaan Berdoa
Assalamualaikum,
Kita telah teliti dalam beberapa post yg terdahulu tentang 10 adab dan tatasusila berdoa dalam Islam. Semuanya kita berpandukan kepada dalil al-Quran dan as-Sunnah. Kita juga telah lihat beberapa amalan atau perlakuan dalam doa yg tidak terdapat dalam as-Sunnah atau yg berlainan dari ketetapan as-Sunnah.
Kali ini kita teliti betapa pentingnya 'doa' dalam Islam. Segala sesuatu - kebaikan mahupun keburukan itu semuanya atas kehendak Allah (a.w) semata-mata. Kita hanya boleh memninta apa yg kita mau dan meminta dinyahkan apa yg kita tidak mahu.
Di dalam Islam, Allah (a.w) menyuruh umat Islam sering berdoa. Ini adalah atas hakikat bahawa manusia itu makhluk Allah (a.w) yang bergantung kepada Pencipta mereka atas segala sesuatu. Dan segala sesuatu yang didapatinya di dunia adalah kurniaan dan izin Allah (a.w). Dan tidak semua yang dihajati boleh didapati tanpa izin Allah (a.w). Jika berkehendakkan sesuatu, tanpa izin Allah (a.w) kita tidak akan memperolehinya. Jika kita ingin menghindarkan sesuatu bala atau bencana atau kemudaratan supaya tidak mengenai kita, tanpa izin Allah (a.w) kita tidak mungkin dapat mengelak atau menghalangnya terkena pada kita.
Jika kita teliti al-Quran dan juga as-Sunnah berhubung amalan doa, Allah (a.w) sering memperingatkan, malah menyuruh kita, supaya sentiasalah berdoa meminta kepadaNya. Di dalam al-hadith, Rasulallah (s.a.w) sering menyuruh dan mengajarkan kita supaya kita sentiasa berdoa kepada Allah (a.w) – berdoa untuk mendapatkan sesuatu yang kita ingin dan supaya Allah (a.w) menghindarkan sesuatu yang kita tidak mahu. Malah kita bersifat sombong jika kita tidak meminta kepadaNya. Sesiapa yang tidak mau berdoa seolah-olah dia bersifat sombong terhadap Allah (a.w). Apabila kita berdoa, Allah (a.w) memberitahu kita bahawa Dia akan kabulkan doa kita. Firman Allah (a.w) di dalam al-Quran:
Firman Allah (a.w): 'Wa-qala rabbukumud-‘unii astajib lakum.' [Maksud: Dan telah berfirman Tuhan kamu (Allah (a.w): ‘Berdoalah kepada Aku (Allah (a.w)) nescaya akan Aku (Allah (a.w)) kabulkan permintaanmu’] [Ayat 60, surah al-Ghafir]
Allah (a.w), dalam ayat yang sama, mencela atau mencemoh orang-orang yang tidak mahu berdoa kerana berpendirian sedemikian adalah bersifat ‘sombong dan angkuh’ terhadap Allah (a.w), dengan firmanNya:
Firman Allah (a.w): 'Innal lazi yastakbiruna ‘an ‘ibadati sayadkhuluna jahannama dakhirin.' [Maksud: Sesungguhnya mereka (yakni, orang) yang takbur (yakni, sombong atau merasa besar diri) dari berdoa (yakni, tidak mahu berdoa) kepadaKu akan Aku masukkan dia ke Neraka yang amat hina.' [Ayat 60, Surah al-Ghafir].
Allah (a.w) sangat benci seseorang manusia sebagai makhlukNya yang tidak mahu berdoa atau tidak mahu meminta padaNya, untuk mendapatkan sesuatu hajat atau untuk memohon perlindungan dari sesuatu yang tidak diingini, kerana Dia adalah Tuhan dan manusia makhlukNya, maka makhluk tidak memiliki semua yang dia mahu. Allah (a.w) yang maha kaya, kerana itu Dia tidak berkehendakkan apa-apa selain ketaatan daripada makhluk yang dijadikanNya. Manusia hendaklah mengagungkan Tuhan mereka. Mereka yang tidak mahu berdoa dikira sombong terhadap Allah (a.w).
[Nota: Surah al-Ghafir juga disebut Surah al-Mukmin. Sifat sombong dan angkuh adalah sifat Iblis atau Syaitan. Dialah makhluk yang pertama sombong serta ingkar kepada Allah (a.w) apabila diperintahkan oleh Allah (a.w) sujud (yakni, hormat kepada manusia pertama, Adam (a.s), yang dicipta sendiri oleh Allah (a.w), dia enggan.]
Jika kita tidak mahu berdoa, kita sedikit sebanyak menjadikan sifat-sifat syaitan itu ikutan kita!

No comments:

Post a Comment